30 May, 2008

Nabi palsu di Malaysia...

Perintah halang Kahar

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Abdul Kahar Ahmad Jalal yang mengaku dirinya ‘Rasul Melayu’ kini dalam perhatian Jabatan Imigresen dan dia pasti tidak dapat melepasi pintu sempadan kerana dihalang agensi berkenaan sekiranya berhasrat untuk meninggalkan negara ini.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, membenarkan permohonan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mendapatkan perintah Jabatan Imigresen bagi menghalang Abdul Kahar, 58, keluar dari negara ini.

Selain itu, Jais dalam permohonannya berjaya mendapatkan perintah bagi membolehkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menangkap pesara Zoo Negara itu tanpa dibenarkan sebarang jaminan berikutan usaha menangkapnya dilakukan jabatan agama itu beberapa kali sebelum ini menemui kegagalan.

Perintah dalam kamar itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Mohd Nurul Azhar Mohd Tohar yang mendengar permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jais, Muhamad Nazri Basrawi, bagi pihak Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad.

Sementara itu, Muhamad Nazri ketika ditemui di luar mahkamah berkata, semalam ditetapkan untuk Abdul Kahar menghadirkan diri pada prosiding sebutan kesnya di mahkamah selepas didakwa mengikut Seksyen 7, 8 (a), 10 (b), 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985.

Bagaimanapun, Abdul Kahar gagal menghadirkan diri ke mahkamah meskipun waran tangkap dikeluarkan terhadapnya melalui pegawai penguat kuasa Jais dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaksanakan pada 9 April hingga 12 Mei lalu.

“Hari ini (semalam) tertuduh tidak hadir, sebaliknya hanya seorang saja penjaminnya iaitu Mohd Shanie hadir, manakala penjamin kedua iaitu Nor Chahaya Abd Ghani, 47, tidak menghadirkan diri seperti ditetapkan.

“Sehubungan itu mahkamah mengarahkan kedua-dua penjamin terbabit mengemukakan surat tunjuk sebab berikutan kegagalan mereka membawa Abdul Kahar ke Mahkamah Tinggi hari ini (semalam),” katanya.

Muhamad Nazri yang turut dibantu Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Rais Rasid, berkata pihaknya juga berjaya mendapatkan pelanjutan waran tangkap terhadap Abdul Kahar tanpa diberikan sebarang jaminan.

“Pihak penguatkuasaan Jais sudah beberapa kali cuba melaksanakan waran tangkap termasuk pada waktu siang dan malam, tetapi gagal berbuat demikian, sebaliknya hanya menemui anak tertuduh saja di lokasi.

“Mahkamah juga memberikan waran tangkap kepada Balai Polis Ampang, tetapi sehingga kini belum mendapat laporan berhubung perkara itu,” katanya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 25 Jun ini.

Terdahulu pada prosiding sebutan semula kes 23 April lalu, Nor Chahaya yang menjamin Abdul Kahar, mendakwa gagal memujuk lelaki terbabit untuk menghadirkan diri di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Dia yang juga seorang pegawai kerajaan dalam kumpulan A memberi keterangan berkenaan selepas pihak pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap penjamin Abdul Kahar berikutan kegagalannya menghadirkan diri.

No comments:

Post a Comment